Searching...


.
22 Apr 2014
23.29 0

DILEMA MELAYU BAHAGIAN 8




DILEMA MELAYU BAHAGIAN 8

Berikut adalah sambungan dari karya TUN DR. MAHATHIR bertajuk DILEMA MELAYU:-
Silalah komen dan share, ya?!

Tatasusila dan Sistem Nilai Melayu
Sesuatu bangsa itu berbeza bukan sahaja disebabkan oleh fisiognomi, Bahasa dan tempat tinggalnya
tetapi juga oleh kebudayaannya. Kebudayaan terjalin erat dengan tatasusila dan sistem nilai sesuatu
bangsa. Kesusilaan dan sistem nilai inilah yang melahirkan kesusasteraan, seni kreatif dan visual dan
lain-lain manifestasi yang biasanya membentuk kebudayaan. Dan yang lebih penting lagi ialah bahawa
tatasusila dan sistem nilai tersebut menentukan kemajuan dan perkembangan sesuatu bangsa dalam
keadaan-keadaan yang tertentu.
Tatasusila dan sistem nilai orang Melayu belumlah pernah dikaji dan dianalisa. Memang tidak ramai
bilangan orang Melayu yang mahu memberikan pandangan tentang perkaraperkara yang sensitif ini.
Tetapi jika sekiranya kita hendak mengatasi masalah orang Melayu dan masalah Malaysia dengan
harapan untuk mencapai kejayaan, adalah penting kita mengetahui mengapa, dalam keadaan-keadaan
yang tertentu, orang Melayu bertindak dan mencapai kemajuan yang berbeza sekali berbanding dengan
orang Cina dan orang-orang lain.
Walaupun pendapat saya mengenai perkara ini tidaklah secara saintifik dan tidak juga berupa kajian
yang mendalam, namun saya telah cuba memberikan sedikit sebanyak pandangan mengenai perkara
yang tidak begitu difahami walaupun sering disebut-sebut. Setidak-tidaknya pandangan ini mungkin
menolong orang lain untuk memahami dengan lebih baik lagi sifat orang Melayu.
Nilai dan sistem nilai mempengaruhi perkembangan dan kemajuan semua masyarakat manusia. Pada
umumnya konsep nilai sesuatu masyarakat tidak dipersoalkan kecuali oleh ahli sosiologi dan ahli
sains kemasyarakatan. Hanya apabila masyarakat ataupun komuniti manusia saling berhubungan dan
nilainilai yang berbeza ini bertentangan dan menuju ke arah yang berlainan barulah nilai ini menarik
minat orang-orang biasa.
Konsep-konsep nilai dan tatasusila adalah saling berkait rapat. Tatasusila sangat dipengaruhi oleh
agama atau tafsiran agama, maka ini bererti bahawa nilai-nilai juga sangat rapat hubungannya dengan
kepercayaan agama. Demikianlah kemajuan negara-negara Barat dipercayai berpunca dari tatasusila
Judaeo Kristian. Memanglah tidak sukar pula untuk mengaitkan perkembangan Islam yang cepat
selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. dengan perubahan nilai yang dibawa oleh Islam. Tentera
Islam berperang dari negeri Sepanyol hingga ke Negeri China untuk mengembangkan syiar Islam ke
kawasankawasan yang dikenali sebagai dunia pada waktu itu. Perkembangan dan kemajuan tatasusila
Islam yang sama telah membawa kemajuan ilmu sains dan ilmu kemanusiaan yang berlaku sesudah
penaklukan selesai.
Oleh kerana itu pemahaman darihal sistem nilai dan tatasusila orang Melayu merupakan syarat mutlak
untuk merancang masa depan mereka. Kajian terhadap nilai ini mungkin terbukti mengecewakan.
Tetapi tanpa memahami serba sedikit tentang nilai-nilai ini, bukan sahaja mustahil untuk membetulkan
pendapat-pendapat yang salah akibat tafsiran yang tidak betul, malahan rancangan untuk memajukan
orang Melayu akan gagal sebab rancangan-rancangan itu akan bertentangan dengan nilainilai yang
sudah ditegakkan.
Islam merupakan pengaruh tunggal yang paling besar terhadap konsep-konsep nilai dan tatasusila
Melayu. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa bukanlah agama yang begitu berpengaruh melainkan
tafsiran tentang ajaran-ajaran Islamlah yang kuat pengaruhnya. Tafsiran agama berbeza-beza bukan
sahaja mengikut individu malahan juga mengikut usia dan masa, bahkan juga negara. Patut pula
diingatkan bahawa Islam juga mempunyai lima mazhab dan kadang-kadang timbul mazhab baru
disebabkan oleh tafsiran seseorang individu. Kalaulah kadang-kadang pengaruh Islam terhadap
konsep nilai Melayu nampaknya tidaklah begitu baik, maka perlulah diingatkan bahawa pengaruh itu
bukanlah kerana ajaran Islam tetapi sebahagian besarnya ialah kerana tafsiran semasa penduduk
tempatan yang telah menyebabkan berlakunya pengaruh buruk ini.
Tambahan pula konsep Islam di Malaysia sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kepercayaankepercayaan
lama orang Melayu. Setengah-setengahnya, terutama animisme, mempunyai pengaruh
yang lebih kuat terhadap orang Melayu luar bandar daripada orang Melayu di bandar. Pengaruh
kepercayaan- kepercayaan ini masih kuat di kawasan-kawasan luar bandar dan kadang-kadang
pengaruh ini bertentangan dengan ajaran Islam. Selain daripada kepercayaan agama, peradaban
Melayu telah membentuk satu susila tingkahlaku yang dinamakan adat. Adat itu nampaknya
dipengaruhi oleh agama-agama orang Melayu dahulu dan sekarang, tetapi ada sebahagian besar
daripadanya yang nampaknya unik dan tidak ada hubungannya dengan sebarang kepercayaan. Pengaruh
adat pada keseluruhannya sudah berkurangan tetapi masih kuat di kawasan-kawasan luar bandar yang
lebih konservatif, dan kita harus ingat bahawa di sinilah kebanyakan orang Melayu tinggal.
Perhubungan dengan dunia orang bukan Melayu juga telah mempengaruhi sistem nilai orang Melayu.
Perhubungan ini boleh dibahagi kepada dua bahagian, iaitu dengan dunia Islam yang bukan Melayu, di
antaranya yang paling utama ialah perhubungan dengan dunia Arab baik di dalam mahupun di luar
negeri; dan perhubungan dengan orang-orang bukan Islam seperti orang-orang Eropah, Cina dan lainlain.
Pada keseluruhannya, pengaruh perhubungan antara kaum ini ke atas nilai orang Melayu adalah
kurang apabila agama berbeza dibandingkan dengan pengaruh kepercayaan agama yang sama.
Perhubungan dengan sebilangan kecil orang Arab mempunyai pengaruh yang lebih besar terhadap
nilai-nilai orang Melayu kalau dibandingkan dengan semua hubungan dengan kaumkaum lain yang
bukan Islam.
Hukum etika dan konsep atau sistem nilai adalah perkaraperkara yang besar dan tidak boleh diliputi
di dalam satu kajian sahaja. Oleh kerana tujuan tulisan ini ialah untuk mencuba mengaitkan sebab dan
kesan masalah-masalah yang mempengaruhi orang Melayu, dalam kajian yang lebih meluas, hanya
tatasusila dan konsep-konsep yang berkaitan dengan masalah itu sahaja yang perlu diperkatakan.
Sebelum diteruskan perbincangan, eloklah terlebih dahulu diketahui apakah pendapat orang Melayu
tentang alas etika, yakni konsep kebaikan.
Perkara yang mula-mula menarik perhatian pemerhati ialah perbezaan yang amat ketara antara
tatasusila yang dianuti dan kebiasaan yang diamalkan. Yang tidak kurang menariknya ialah bahawa
pada zahirnya orang Melayu sendiri pun tidak dapat melihat perbezaan ini. Oleh itu pemerhatian
mengenai amalan yang sebenar akan memberi satu susunan nilai, sementara kajian mendalam pula
akan menunjukkan kumpulan idea yang berlainan. Sedikit sebanyaknya perkara ini boleh dianggap
sebagai sesuatu yang bersifat sejagat. Akan tetapi adalah satu kesilapan sekiranya perkara ini tidak
diambilkira dari awal lagi bagi mengelak kritik kemudian hari bahawa pendapat yang berbezabeza
telah dibuat berkenaan dengan perkara yang sama.
Mengenai asas konsep baik, nampaknya konsep orang Melayu sesuai dengan idea Kant mengenai
kejujuran. Perkara yang baik bukanlah yang menyenangkan, tetapi sebaliknya perkara yang wajar.
Perkara yang wajar telah dinyatakan di dalam kesusilaan agama Islam dan adat yang tegas. Disanjung
tinggi adalah baik bagi masyarakat dan juga bagi diri seseorang, tetapi pada umumnya individu
dianggap kurang penting berbanding dengan masyarakat.
Tatacara dan upacara agama sangatlah penting dalam konsep nilai orang Melayu. Sesuatu yang rasmi
adalah dianggap sesuai. Menyeleweng dari tatacara dianggap tidak cocok, biadab dan patut dicela
dan dihukum oleh Tuhan dan manusia. Sikap ini pada dasarnya sikap yang konservatif. Sikap ini tidak
mengizinkan inovasi. Sesungguhnya sikap ini tidak menggalakkan perubahan dan dayatemu. Biasanya
memang ada cara yang rasmi untuk melakukan sesuatu dan tidak semestinya ada penjelasan yang logik
mengapa cara yang ditetapkan itu dianggap betul dan diterima. Oleh kerana agama adalah asas utama
sistem nilai orang Melayu, maka sewajarnyalah bahawa kebaikan dan kebijaksanaan mempunyai erti
yang sama dengan ketinggian beragama. Menjadi alim dalam bidang agama dianggap baik, dihormati
dan dipandang tinggi. Pengetahuan bertambah dengan usia yang meningkat, dan oleh itu Islam sangat
menghormati mereka yang berusia dan berpengetahuan.
Hidup semata-mata untuk keseronokan tidak mempunyai tempat di dalam etika hidup orang-orang
Melayu. Keseronokan baik fizikal atau mental adalah dipandang rendah. Sesuatu kerja tidak dilakukan
dengan tujuan keseronokan semata-mata. Berkhidmat kepada sesama manusia mungkin mendatangkan
kepuasan dan keseronokan tetapi ini bukanlah sebabnya mengapa seseorang Melayu itu patut
berkhidmat kepada orang lain. Hanyalah kesopanan dan tanggungjawab yang menggerakkannya.
Tenaga penggerak ialah untuk mendapat keredaan Tuhan dan kebaikan di mata manusia. Dengan lain
perkataan, sesuatu itu adalah dilakukan kerana ianya wajar dan bukan kerana ianya menyenangkan atau
kerana tindakan itu akan memberi kepuasan hasil dari pencapaiannya. Keseronokan fizikal dipandang
hina dan haruslah dibendung atau sekurang-kurangnya disembunyikan. Memakan makanan yang lazat
dengan berlebihan dianggap tidak baik dan minum minuman yang boleh memabukkan ditegah oleh
agama dan tidak dapat diterima oleh masyarakat.
Falsafah `makan, minum, dan berseronok-seronokan’ tidak mempunyai tempat dalam masyarakat
Melayu. Hidup itu sementara dan inilah waktunya kita membuat persediaan untuk hari akhirat. Oleh
kerana itu kehidupan di dunia bukanlah untuk bersenang-senang atau bersuka-suka melainkan untuk
beribadat dan patuh kepada perintah-perintah agama. Terlalu sibuk dengan perkara-perkara
keduniaan, seperti mengumpulkan harta tidaklah baik. Jika orang Melayu bukan penggemar makanan
dan minuman mereka juga bukanlah orang yang pandai menahan nafsunya. Kehidupan ini penuh dengan
penderitaan, tetapi tidaklah semua penderitaan itu harus ditanggung dengan penuh kesabaran. Melentur
sedikit mengikut tiupan angin apabila dalam kesukaran memanglah diduga. Malahan dalam agama
sekali, pun adalah diperintahkan supaya seseorang itu berpura-pura membuang agamanya daripada
bersabar mengalami siksaan. Syuhada-syuhada Kristian yang lebih suka mati daripada memisah dari
kepercayaan mereka dianggap oleh orang Melayu sebagai bodoh sekali. Manifestasi agama yang zahir
atau dapat dilihat kadangkala tidaklah begitu penting oleh kerana agama adalah perkara kerohanian.
Membendung perasaan terhadap penindasan dan menanggung kesakitan dengan tujuan menunjuk
kedegilan adalah dianggap bodoh dan sia-sia.
Tetapi bertentangan dengan tuntutan agama supaya mempertimbangkan arus dan aliran adalah
pegangan yang begitu kuat ke atas sifat dan bentuk yang ditetapkan oleh adat. Dalam tatasusila
tingkahlaku Melayu rupa bentuk lebih penting dan lebih disukai daripada isi kandungan yang
sebenarnya. Oleh itu status rasmi yang formal dianggap lebih penting daripada kuasa yang ada
bersama-sama status tadi. Dengan lain-lain perkataan, tidaldah menjadi apa-apa jika keadaannya tidak
sebenarnya begitu asalkan ianya mempunyai rupa bentuk yang demikian.
Sikap inilah yang menjelaskan kejayaan dan betapa mudahnya British mengambil alih negeri-negeri
Melayu. Sikap ini menerangkan kenapa orang British berjaya dengan senang memerintah negeri-negeri
Melayu sebagai negeri-negeri yang dilindungi pada lahirnya tetapi memperlakukan negeri-negeri itu
sebagai tanah jajahan.
Akhir sekali, ada pula kepercayaan kepada takdir yang menjadi ciri sikap hidup orang Melayu.
Kepercayaan kepada takdir ini sangat nyata di mana-mana sahaja dan sangat mempengaruhi keseluruh
konsep nilai orang Melayu. Kepercayaan ini memungkinkan segala sesuatunya, lama ada yang baik
ataupun yang buruk, diterima dengan sikap toleran dan sabar sahaja tanpa membantah. Kepercayaan
ini tidak menggalakkan usaha besar untuk mengadakan perubahan. Kepercayaan ini tidak
memberontak. Jika sekali pun ada percubaan untuk berbuat sesuatu, kegagalan diterima dengan penuh
kesabaran. Seluruh falsafah hidup terkandung dalam peribahasa Melayu `Rezeki secupak tidak akan
jadi segantang’. Dengan lain-lain perkataan, takdir menentukan segala-galanya dan usaha untuk
memperbaiki keadaan seseorang itu tidak berguna kecuali jika sudah ditakdirkan demikian.
Akibat sikap berserah kepada takdir ini menyebabkan usaha mencari harta dunia tidak dipentingkan.
Perasaan bangga kerana berusaha sedaya upayanya bukanlah perkara biasa. Juga tidak terdapat
sanjungan yang tinggi terhadap orang yang enggan berhenti bekerja kerana kecacatan atau umur yang
tua. Sikap yang dianggap betul ialah mengakui batas kemampuan seseorang dan kesediaan untuk
menerima batasan-batasan ini. Rasa simpati terhadap mereka yang kurang bernasib baik harus
diperlihatkan oleh orang-orang lain. Inilah sifat yang dikagumi dan umumnya terdapat di kalangan
orang Melayu.
Sebelum kita membincangkan kejadian-kejadian umum dalam pengalaman manusia dalam alam
sekitarnya serta sikap orang Melayu terhadap kejadian-kejadian ini, barangkali ada faedahnya jika
kita mengingati kembali rumusan-rumusan umum tentang nilai-nilai etika orang Melayu untuk melihat
bagaimana kedudukannya berbanding dengan nilai-nilai etika yang dianjurkan oleh ahli-ahli falsafah
dahulu kala. Perkara pertama yang dapat dikatakan tentang kesusilaan Melayu ialah tatasusila itu
belum dipengaruhi oleh pengetahuan secara sedar tentang falsafah-falsafah tatasusila dahulu kala ini.
Apa-apa jua persamaan dengan, ataupun apa-apa penolakan yang nyata terhadap nilai-nilai orang
Greece purba dan tamadun Mediterranean sebelum zaman Kristian sudah semestinyalah berlaku
secara kebetulan sahaja.
Pertama sekali, pemeriksaan diri sendiri yang begitu menarik perhatian dan menelan masa yang
panjang ahli-ahli falsafah Greece tidak dianggap mempunyai apa-apa nilai kebaikan yang besar. Oleh
itu menganalisa diri secara kritis dengan sengaja adalah jarang sekali dilakukan. Tafsiran Socrates
mengenai seruan Delphi, “Ketahuilah dirimu sendiri,” yang memberi nilai kebaikan terhadap
pengetahuan mengenai diri sendiri tidak terdapat persamaannya di kalangan orang-orang Melayu. Ini
bukan sahaja melibatkan individu malahan juga masyarakat. Kelemahan ini menyebabkan kelemahan
mengetahui dan mengatasi kesalahan-kesalahan diri sendiri. Lebih konservatif sesebuah masyarakat,
maka lebih besarlah kelemahan ini. Perkara ini adalah amat ketara di dalam masyarakat luar bandar
dan menyebabkan kebuntuan menghubungkan sebab dengan akibat.
Jenis pengetahuan yang disanjung ialah pengetahuan agama. Usaha untuk mempelajari darihal agama
agak mengkagumkan, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar yang dianggap mundur. Misalnya
kitab suci Al-Quran dibaca orang, diberi tafsiran dan dibincangkan begitu meluas. Di kalangan orang
Melayu, kebolehan berbahasa Arab adalah perkara biasa, dan kadang-kadang bahasa Urdu yang
menjadi bahasa pengantar bagi pelajaran agama di Pakistan dan India juga difahami.
Walau bagaimanapun, nilai-nilai kerohanian Islamlah yang paling mendapat perhatian. Penekanannya
ialah tentang kehidupan yang salih, bebas dari dosa dan kehidupan yang boleh memberikan
kebahagiaan di akhirat. Oleh kerana itu pengetahuan agama dicari semata-mata demi pengetahuan
agama dan untuk menjalani hidup yang salih. Tetapi kebaikan pengetahuan yang diperolehi dari agama
tidak selalu digunakan untuk mempengaruhi nilai-nilai lain. Di antara tiga kebaikan utama yang
dinyatakan oleh Plato, kesabaranlah yang paling nyata di kalangan orang Melayu. Kesabaran bukanlah
falsafah yang aktif melainkan hasil daripada iklim dan alam sekitar orang Melayu. Orang yang tidak
sabar tidak dipandang mulia. Gambaran yang diberikan ialah satu bendungan yang berterusan yang
mencabar ketabahan hati. Ia menyebabkan konflik di dalam diri, dan kadangkala ikatan-ikatan yang
membendung ini seakan-akan putus dan tiba-tiba sikap sopan dan beradab itu hilang dan digantikan
oleh satu kemarahan yang men-dadak yang begitu menakutkan kerana arus keganasannya.
Namun begitu, orang Melayu rata-rata biasanya ingin mengamalkan hidup yang sederhana. Dalam
menikmati hidup yang sederhana, sikap terhadap orang lain dan reaksi terhadap keadaan dan alam
sekeliling, sentiasa terdapat nilai kesederhanaan ini. Orang Melayu yang baik selalunya merendah diri
dan tidak menonjolkan dirinya, tidak mahu memaksakan kemahuannya jika kemahuan itu bertentangan
dengan kemahuan orang lain dan sentiasa sahaja sedia berkompromi.
Keberanian, sifat kebaikan yang kedua yang diutamakan oleh Plato memberi erti yang agak berbeza
daripada konsep keberanian dalam keseluruhan sejarah etika Barat. Ketegasan pendirian untuk
melanggar, atau berundur atau untuk bertahan yang dipengaruhi oleh pemahaman yang jelas mengenai
sesuatu keadaan, sebagaimana diterangkan oleh Plato, bukanlah sebahagian daripada keperibadian
Melayu. Sesungguhnya ketegasan sama sekali bukanlah sifat orang Melayu. Oleh kerana itu jenis
keberanian yang memerlukan ketegasan dan memegang teguh kepada prinsip jarang ada di kalangan
orang Melayu. Dalam banyak perkara keberanian disamakan dengan kesanggupan menghadapi sesuatu
keadaan yang tidak ada harapan lagi. Ertinya menghadapi rintangan maha besar yang boleh membawa
kepada kekalahan dan kemusnahan. Menentang musuh yang lebih kuat dari keupayaan sendiri dianggap
berani. Memperhitung dan menilai peluang terlebih dahulu menunjukkan perasaan takut. Sudah
berkali-kali ketidakupayaan atau keengganan untuk mengukur kemungkinan yang akan mereka hadapi
menyebabkan orang Melayu mengalami kekalahan dan malapetaka. Seseorang Melayu yang gagah
berani selalunya bertindak secara membabi-buta dan oleh kerana is lebih berkemungkinan melakukan
sesuatu tanpa memikirkan akibatnya, maka seseorang Melayu biasa akan hormat dan takut kepadanya.
Seorang orang biasa sedar bahawa tidak ada faedah menimbulkan kemarahannya dan adalah lebih
selamat untuk membiarkan orang itu mengikut kehendaknya sendiri. Jelaslah bahawa orang biasa
sebaliknya menggambarkan golongan yang amat jauh perbezaannya, di mana demi keselamatan,
prinsip dengan mudah sekali diketepikan.
Kenyataan-kenyataan ini mungkin terasa menghina. Memang ada banyak contoh tentang keberanian
yang sebenarnya dalam sejarah orang Melayu. Kegagahan beberapa orang anggota pasukan Askar
Melayu sudahlah diketahui umum. Tetapi kesimpulan di atas pada dasarnya betul. Kesimpulan umum
ini menerangkan mengapa orang Melayu pandai mengatasi musuh mereka secara senyap-senyap dan
tipu helah dan jarang sekali menyerang secara berdepan dalam sebarang keadaan.
Kebijaksanaan menurut tafsiran Plato bukanlah sepertimana kebijaksanaan yang dimaksudkan oleh
orang Melayu. Perlunya mengawal nafsu dan mengarahkan keazaman memang diakui, tetapi
kebijaksanaan adalah dianggap sebagai kebolehan untuk memintas sesuatu keadaan tertentu. Yang
dipandang tinggi bukanlah semata-mata mengawal nafsu dan mengarahkan keazaman tetapi adalah
kebolehan mengelak dari membuat keputusan yang muktamad dan dapat membuat pembetulan
kemudian nanti. Kebolehan inilah yang disanjung tinggi. Orang Melayu tidak pernah terikat kepada
apa-apa. Selalunya ada jalan keluar untuk melepaskan diri. Dalam mencuba menyediakan jalan keluar
yang bijak bagi sesuatu keadaan, proses membuat keputusan selalunya merupakan proses yang
menjemukan dan banyak memakan masa. Sesungguhnya, seberapa yang boleh, sesuatu keputusan akan
cuba dielakkan sama sekali, dan oleh yang demikian berpeluanglah untuk menyangkal dan kemudian
membuat pembenaran.
Jelaslah bahawa ketiga-tiga ciri kebaikan yang diutarakan oleh Plato tidak ada kena-mengena dengan
orang Melayu. Kebaikankebaikan ini memang ada tetapi oleh kerana nilainya berbeza, maka
masyarakat yang dibentuknya itu berbeza sama sekali, dan tidak berkembang mengikut garis-garis
yang sama seperti peradaban Barat. Dan oleh kerana konsep-konsep nilai dan tatasusila orang Melayu
berbeza daripada konsep nilai dan tatasusila Barat, maka perubahan dalam alam sekitar semata-mata
tidak mungkin akan membawa perubahan besar yang sepatutnya dalam nilai-nilai Melayu sehingga
mereka dapat bersaingan dengan usaha kaum atau komuniti lain. Dengan lain perkataan, tanpa
perubahan yang radikal pada tatasusila dan konsep nilai mereka, maka usaha besar-besaran untuk
mengubati penyakit yang menimpa orang Melayu hanya akan menambahkan lagi kekecewaan semua
yang berkenaan, oleh kerana hasil yang diperolehi itu adalah minimum sahaja.
Sekarang marilah kita meneliti sikap orang Melayu terhadap pengalaman umum masyarakat manusia,
mengenai hidup dan mati, mengenai individu dan masyarakat, mengenai kekayaan dan kemiskinan, dan
mengenai kejadian-kejadian utama lainnya yang mempengaruhi cara berfikir dan reaksi dalam
masyarakat. Nyawa merupakan kurniaan Tuhan dan kurniaan itu adalah paling berharga bagi manusia.
Orang Melayu menghargai nyawa tetapi nampaknya tidak menghargai sepenuhnya apa yang dikatakan
nyawa dan tujuannya. Oleh sebab nyawa itu kurniaan Tuhan, maka nyawa tidak boleh diambil.
Membunuh adalah perbuatan yang keji tetapi yang lebih keji ialah membunuh diri sendiri. Oleh itu
membunuh diri sendiri sangat jarang berlaku dan orang yang membunuh diri menjadi punca keaiban
kepada sanak saudara yang ditinggalkannya. Oleh kerana mengambil nyawa itu keji, maka orang
Melayu tidak akan membunuh secara sengaja. Kejadian pembunuhan yang kadang-kadang berlaku
dalam masyarakat Melayu adalah disebabkan oleh hilang fikiran. Pembunuhan jarang dirancangkan
dan selalunya si pembunuh mudah dikesan.
Walaupun orang Melayu pada lahirnya menghargai kehidupan, tetapi mereka nampaknya tidak tahu
apa yang sepatutnya dilakukan dengan kehidupan. Dalam masyarakat luar bandar yang lebih
konservatif, kehidupan hampir seluruhnya merupakan jangka waktu untuk membuat persediaan untuk
hari akhirat. Agak diragukan apakah ini yang diajar oleh Islam.
Mungkin sekali sikap ini adalah suatu bentuk pelepasan diri dari kenyataan hidup yang sebenarnya,
yakni tembok yang membendung perasaan cemburu yang dirasakan oleh orang Melayu terhadap
kemakmuran yang dinikmati oleh kaum-kaum dan negara-negara lain. Akibat tumpuan yang amat kuat
kepada akhirat itulah orang Melayu dapat meyakinkan diri mereka bahawa mereka tidak kerugian apaapa
di dalam kehidupan di dunia ini sekiranya mereka tidak mempunyai apa-apa hartabenda. Dunia ini
sementara sahaja sedangkan akhirat itulah yang kekal. Jika hidup di dunia ini sementara dan hidup
yang lebih baik menunggu manusia, maka terlalu berazam untuk hidup tidak ada faedahnya dan
tidaklah wajar pula. Sudah tentu sikap ini bererti berserah kepada takdir. Jika sikap ini berleluasa
maka azam untuk hidup dan berusaha ke arah kehidupan yang lebih baik tidaklah begitu gigih.
Hidup dikaitkan dengan masa. Hidup bererti berada untuk satu jangka masa. Oleh kerana itu hidup dan
masa tidak dapat dipisah-pisahkan. Jika kehidupan ini dihargai maka masa juga haruslah dihargai.
Malangnya hubungan di antara hidup dan masa nampaknya tidak dihargai oleh orang Melayu. Hidup
berharga tetapi masa tidak. Oleh itu masa disia-siakan atau diabaikan begitu sahaja. Misalnya umur
sangat mudah disesuaikan. Orang Melayu umumnya tidak begitu pasti tentang umurnya sendiri dan
sebarang agakan yang dibuatnya mungkin jauh lebih daripada yang sebenar. Ini ialah kerana umur tua
dimuliakan dan orang lelaki, malahan orang perempuan juga, ingin selalunya mengatakan dirinya lebih
tua dari yang sebenar. Orang lelaki dengan mudah berkata dia berumur 100 tahun tetapi apabila
diperiksa sahaja umurnya didapati tidak lebih daripada 70 tahun.
Mengabaikan masa boleh dilihat sebagai cara bagaimana masa itu disia-siakan. Duduk-duduk sahaja,
minum-minum kopi atau berbual-bual merupakan tabiat biasa orang Melayu di seluruh negara.
Undangan makan kenduri di kampung selalunya tidak tetap waktunya. Orang-orang yang dijemput
boleh datang bila-bila masa sahaja, makan bila-bila sahaja dan pulang bila-bila sahaja. Tiada
siapapun yang hadir tepat pada waktunya untuk mesyuarat tetapi apabila sudah dimulakan tidak pula
ditentukan waktu bila mesyuarat itu akan berakhir. Oleh itu sesuatu perjumpaan mungkin dimulakan
lewat dari waktunya dan tamat lebih lewat pula, biar betapa lama masa diuntukkan supaya sesuai bagi
setiap orang.
Apabila tidak ada kesedaran terhadap masa (dan waktu), maka tidak adalah perancangan dan
perlaksanaan kerja tidaklah boleh diharapkan. Jadual waktu merupakan bahagian penting dalam
kehidupan manusia moden. Sesungguhnya, semakin maju seorang itu dalam bidang teknologi maka
semakin terikatlah dia kepada waktu. Penghitungan detik-detik waktu melambangkan pergantungan
mutlak teknologi moden kepada waktu. Tanpa ketepatan waktu secara matematik, manusia sudah tentu
tidak akan dapat menjelajah di angkasa lepas. Sebuah masyarakat yang tidak mempedulikan waktu
haruslah dianggap sebagai masyarakat yang sangat mundur. Apatah lagi masyarakat itu akan terusmenerus
menjadi masyarakat yang mundur. Masyarakat itu sekali-kali tidak akan dapat mencapai
sesuatu apapun dengan daya usahanya tersendiri dan sekali-kali tidak boleh bergerak maju dan
mengejar peradaban lebih maju yang mementingkan waktu. Pastilah bahawa kegagalan orang Melayu
untuk menghargai masa merupakan salah satu daripada halangan yang paling penting untuk mereka
mencapai kemajuan

0 komentar: