EMAK SAYA PAKAR MOTIVASI
EMAK saya bukan lulusan Oxford atau Cambridge. Pergi sekolahpun sampai darjah 3 kemudian moyang saya berhentikan sekolah katanya orang perempuan duduk di dapur sahaja. Sebab itu arwah emak saya memang pandai memasak. Of course semua akan cakap emak dia paling hebat memasak, tapi emak saya diakui oleh semua kawan-kawan yang saya bawa makan di rumah memang pandai memasak dan memuji lagi (bila saya tanya "sedap tak?"...berani jawab tak).
Sebelum Dr. Fadzillah Kamsah rajin masuk TV3 rancangan MHI dulu atau mudahnya sebelum TV3 ada bersiaran dan sampai ke kampung-kampung (itupun nak kena ikat tudung periuk atas antena tulang ikan baru boleh dapat gambar) emak saya sudah terlebih dahulu jadi pakar motivasi saya.
Lepas emak memasak, dan sambil meraut penyapu atau sedang menjahit tulang belut, mesti saya akan menyibuk dan bertanya cerita-cerita emak. Dari cerita arwah emak kena berhenti sekolah, kemudian kerja jadi amah basuh kain di rumah orang putih, sampai ke cerita kerja kilang "oren" (minuman berkarbonat dulu semua orang panggil oren walaupun rasanya strawberry) dan jadi amah kepada seorang seniwati yang terlupa emak saya juga manusia seperti dia dan bukannya seekor anjing.
Sampailah cerita-cerita macammana emak keluar dari rumah selepas kahwin dengan ayah kononnya merajuk dengan ayah, tapi akhirnya Arwah Atuk Leman hantar balik dengan vespa dari Kampung Delek sampai ke Bukit Kerayong mengajar saya erti ketegasan seorang bapa yang tidak mencampuri rumahtangga anak kandungnya. Juga cerita arwah emak semasa mengandung saya dahulu pergi kutip biji isirong kelapa sawit yang tidak hancur semasa siklon dalam kilang dan dikumpul semula untuk dijual dengan timbang kati ke kilang itu semula.
Itu semua cerita semasa saya tiada lagi bersama arwah. Selepas dari itu, semasa kehidupan sendiri saya melihat arwah emak sebagai role model yang suka bercerita dan suka menampakkan pelajaran di sebalik kejadian yang berlaku. Apabila kami adik beradik mengejar-ngejar basikal yang jiran beli sambil hanya gigit jari kerana kami sendiri tiada basikal, arwah emak faham walaupun kami tak minta.
Emak pernah ikhtihar kutip tin-tin minyak 2T yang terpakai di stesyen minyak untuk dibuka dan digunting menjadi bentuk daun lalu digubah menjadi hiasan berbentuk pokok keladi yang menggunakan tin terpakai. Setelah dicat dah jadi cantik sangat dan dibeli orang. Alhamdulillah, ikhtihar emak ketika itu jadi sampai "viral" sekampung sampai semua orang tempah dari arwah emak. RM10 sahaja 1 pokok bunga siap dengan pasu, batang dan daun keladi tin. Mungkin saya pelajari banyak tentang kreativiti dari arwah emak dan juga ikhtihar hidup yang tidak meminta-minta.
Arwah emak faham kesusahan ayah. Ayah bukan pemalas yang duduk di rumah semata-mata. Ayah bekerja keras di ladang sawit dan juga kerja-kerja sambilan menanam kabel letrik LLN (sekarang TNB) di kawasan Bera Selatan. Bila ayah balik kerja buka baju memang nampak belang kesan terik matahari setiap hari. Namun ayah ada tanggungan yang banyak. Arwah emak sebolehnya tidak mahu menyusahkan ayah. Sebab itu datangnya idea untuk berikhtihar.
Akhirnya, saya dan Along dapat basikal BMX yang diidam-idamkan. Itupun ayah beli dari pekan Triang. Pergi dengan arwah emak naik motor dan tahu tak bagaimana basikal itu dibawa pulang? Ayah yang menunggang motorsikal, emak membonceng sambil menjunjung atas kepala basikal itu sejauh lebih 30km di jalan tanah merah sampai ke pekan. Kami gembira dapat basikal tetapi gurisan luka-luka pada jadi arwah emak kesan memotong tin-tin yang tajam itu sangat membuatkan saya belajar erti bersyukur.
Arwah emak seorang yang buta huruf tetapi Alhamdulillah berjaya mendidik anak-anaknya membaca dan menulis. Hampir 8 tahun arwah pergi. Masih lagi segar perjalanan terakhir arwah emak menyusur pesisir Sungai Pahang yang biasanya dengan ayah di dalam kereta yang saya hadiahkan, tapi kali itu perjalannya dengan ambulan terus ke Hospital Temerloh di mana arwah emak menemui destinasi akhir hidupnya.
Rosminah Sulaiman, cuma orang biasa pada kebanyakan orang. Pada saya, Allayarhamah seorang ibu yang hebat...juga seorang PAKAR MOTIVASI yang terbaik. Luangkanlah masa anda semua dengan anak-anak untuk bercerita perkara yang baik-baik dan berkongsikan kecekalan anda. InsyaAllah ia bukan sekadar diwarisi, tetapi akan digandakannya apa kebaikan yang anda beri.
daripada:-
Anak Kedua Wak Nang & Allayarhamah Ros.
0 komentar:
Posting Komentar