Searching...


.
19 Apr 2014
23.20 0

DILEMA MELAYU BAHAGIAN 2



DILEMA MELAYU BAHAGIAN 2

Berikut adalah sambungan dari karya TUN DR. MAHATHIR bertajuk DILEMA MELAYU:-
Silalah komen dan share, ya?! like l Share : http://bit.ly/nusanaga

Di mana Silapnya?
Inilah soalan yang akan ditanyakan oleh orang-orang yang bersimpati atau
mempunyai minat terhadap Malaysia selepas berlakunya peristiwa Mei 13, 1969. Di mana silapnya,
di dalam sebuah negara yang berbilang kaum, berbilang bahasa dan berbilang agama yang telah
menikmati keharmonian dan kerjasama selama 12 tahun yang lalu, hingga menyebabkan toleransi dan
kefahaman tadi dengan tiba-tiba hancur, hinggakan kaum-kaum tersebut mula memandang dengan
penuh curiga serta menolak cara hidup yang telah wujud sejak sebelum Merdeka lagi? Di mana
silapnya hingga menyebabkan orang Melayu dan orang Cina, dua kaum yang terbesar di Malaysia,
begitu terpisah hinggakan sebuah kerajaan yang autoritarian dan usaha pemimpin-pemimpin
kebangsaan tidak dapat memperbaiki persengketaan ini.

Di mana silapnya? Berdasarkan kepada pengalaman yang sudah-sudah, memanglah mudah untuk
mencari kesilapan dan kecacatan masa lalu. Namun demikian, elok juga difikirkan kembali dan
menganalisa, atau menentukan kesalahan-kesalahan itu sekiranya pengalaman yang lalu hendak
dijadikan tauladan untuk menghadapi masa hadapan. Tujuannya bukanlah untuk membalas dendam,
tetapi ini adalah satu tanggungjawab sosial untuk mencari di mana silapnya. Kalau benarlah segala hal
yang berlaku pada masa dahulu tidak ada cacatnya dan tidak ada mana-mana pihak pun yang bersalah,
nescaya tidak berlaku gangguan kepada kemajuan negara dan keharmonian antara kaum yang telah
wujud selama 12 tahun selepas Merdeka.

Andainya hendak diketahui sebab-sebab suasana tidak harmoni di Malaysia sekarang, eloklah diteliti
`harmoni’ antara kaum yang wujud pada masa lalu. Pernahkah harmoni ini benar-benar terjalin dan
berakar umbi secara mendalam? Pernahkah wujud asas yang kukuh? Pernahkah wujud perbezaan
hubungan di antara orang Melayu dengan orang bukan Melayu pada masa-masa tertentu dalam sejarah
Tanah Melayu? Apakah hubungan yang sebenarnya antara kaum-kaum itu pada tahun-tahun sebelum 13
Mei, 1969? Apakah faktor-faktor lain juga turut menyebabkan berlakunya keganasan itu?

Kalau direnungkan kembali masa-masa yang lampau, salah satu faktor yang agak mengejutkan dan
harus diakui ialah pada masa lalu tidak wujud harmoni yang sebenar antara kaum. Apa yang wujud
ialah kurangnya perselisihan antara kaum. Ada rasa toleransi. Ada terdapat penyesuaian. Ada sedikit
sebanyak perasaan tolak ansur. Akan tetapi tidak wujud harmoni yang sebenarnya. Sebaliknya ada
nada-nada sumbang walaupun tidak begitu ketara. Ada kalanya nada-nada sumbang ini melangsing
nyaring lalu mencetuskan pergaduhan kaum yang terpencil atau merata-rata.Keharmonian antara kaum
di Tanah Melayu tidaklah tulen bahkan juga tidak berakar umbi secara mendalam. Apa yang dianggap
sebagai harmoni ialah tidak adanya perselisihan kaum secara terbuka. Kalaupun tidak ada
perselisihan kaum, bukanlah semestinya kerana kurang kemahuan atau tidak ada alasan-alasan untuk
menimbulkan perselisihan. Sebenarnya ini adalah kerana kurangnya keupayaan untuk bersengketa
secara terang-terang.

Orang Melayu dan orang Cina mungkin hidup berjiran. Mereka mungkin bertemu sewaktu menjalankan
kerja-kerja harian, malahan sewaktu pergaulan secara sosial. Akan tetapi setelah selesai bekerja,
mereka kembali semula ke dalam lingkungan budaya dan kaum masing-masing dan lingkungan ini tidak
pernah dicerobohi oleh mana-mana kaum tersebut. Di dalam dunia kaum masing-masing, nilai-nilai
mereka bukan sahaja berbeza, malahan kadang-kadang bertentangan.Jika diterima hakikat bahawa
memang tidak wujud keharmonian sejati antara kaum, maka lebih senang untuk membuat urutan sejarah
mengenai hubungan orang Melayu dengan bukan Melayu dan menerangkan mengapa perselisihan kaum
berlaku. Malah mungkin boleh dicarikan jalan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan kepada cara
hubungan yang sedia wujud. Dengan cara ini, sekurang-kurangnya, kalaupun bukan harmoni, perkaraperkara
yang boleh menimbulkan persengketaan dapat diredakan.

Sebelum kedatangan orang-orang Portugis, memang sudah ada orang bukan Melayu di Melaka dan
Kedah. Ramai juga di antara mereka itu adalah orang Cina. Setakat yang diketahui hubungan di antara
orang Melayu dengan orang Cina adalah dianggap baik. Keadaan begini mudah difaham kerana
selalunya kalau di tempat-tempat yang tidak ramai orang Cina, mereka akan mengelak dari melakukan
sesuatu yang boleh membangkitkan kemarahan orang Melayu. (Hakikat ini menerangkan mengapa
pertelingkahan kaum tidak pernah berlaku di negeri Kelantan, Trengganu dan Kedah).
Sudah tentunya orang-orang Cina telah mengalami layanan-layanan yang kurang menyenangkan, tetapi
‘mereka tidak membantah walaupun Negeri China menganggap Tanah Melayu sebagai sebahagian
daripada jajahan takluk mereka. Orang Cina dan lain-lain kaum telah mempelajari bahasa dan cara
hidup orang Melayu. Oleh itu persengketaan jarang berlaku, dan kalau berlaku jarang berpanjangan.
Kedatangan orang-orang Eropah telah menambahkan kemasukan orang-orang bukan Melayu, terutama
orang Cina dan India ke Tanah Melayu. Mereka tidak bermastautin di Tanah Melayu, dan hakikat ini
me-nyebabkan mereka terasing dan tidak bercampur dengan orang-orang Melayu. Terhadnya hubungan
ini telah mengurangkan persengketaan, sungguhpun pada akhir-akhir pemerintahan British orang
Melayu telah mulai menyedari bahaya orang-orang Cina dan India kepada kuasa politik orang Melayu.
Sekali-sekala berlaku juga pergaduhan kaum antara orang Melayu dan orang Cina. Akan tetapi,
disebabkan ketegasan pihak British mengawal keadaan, pergaduhan ini tidak merebak menjadi
perselisihan kaum yang besar. Lagipun, hak orang Melayu di negara ini tidak pernah dicabar secara
terang-terang oleh pihak penjajah British mahupun oleh pendatang-pendatang lain di negeri-negeri
Tanah Melayu.

Di bawah pemerintahan British orang Melayu hidup terpisah dari orang Cina dan India, kecuali
pertemuan singkat pada waktu siang. Sebahagian besar orang Melayu, terutama yang tinggal di
kawasan desa tidak pernah bersua muka dengan orang Cina, dan begitu juga keadaan sebaliknya bagi
orang Cina yang tinggal di bandar-bandar besar dan di kawasan lombong bijih. Pada waktu itu
memang tidak berlaku pergaduhan kaum secara besar-besaran, namun tidak pula boleh dikatakan
bahawa wujud harmoni dan toleransi antara kaum. Orang-orang yang hidup jauh terpisah di antara
satu sama lain tidak semestinya hidup mesra. Kalau tidak ada sengketa, hakikatnya ialah kerana tidak
ada peluang untuk bersengketa. Apa yang wujud ialah kesedaran tentang kehadiran masing-masing,
dan kesedaran yang kurang menyenangkan ini sudah cukup untuk menghalang pergaulan yang lebih
rapat. Bibit-bibit persengketaan sebenarnya sudahpun ada, cuma is tidak sempat membesar kerana
disekat oleh kuasa British.
Penjajahan oleh Jepun telah memisahkan orang-orang Melayu dan Cina lebih jauh lagi. Segolongan
orang Melayu boleh dianggap pro Jepun, sementara yang lainnya walaupun tidak bersimpati,
sekurang-kurangnya bukan anti Jepun. Sebaliknya orang Cina telah mendapat layanan buruk dari pihak
Jepun, sementara orang India pula menggabungkan diri mereka dengan perjuangan untuk membebaskan
India. Menjelang akhirnya peperangan, hubungan ini mula bertukar corak. Sebahagian besar orang
Cina telah bersubahat dan diterima baik oleh pihak Jepun. Sementara itu orang Jepun tidak
mengendahkan lagi orang Melayu kerana mereka menganggap orang Melayu tidak begitu berguna bagi
tujuan mereka. Walau apa sekalipun corak hubungan mereka dengan pihak Jepun, ternyata bahawa
perbezaan antara kaum semakin ketara dan masing-masing saling mencurigai.

Apabila British kembali ke Tanah Melayu, hubungan Melayu-Cina boleh dianggap tidak begitu baik
dan keadaan ini bertambah runcing bila golongan komunis (kebanyakannya orang Cina) cuba hendak
menubuhkan kerajaan sendiri di negeri-negeri Tanah Melayu. Ini akhirnya menyebabkan berlakunya
pertumpahan darah. Pertempuran ini mungkin akan merebak menjadi pertempuran kaum jika sekiranya
pihak British tidak kembali dan mendirikan Pentadbiran Tentera British yang dibantu oleh Angkatan
Tentera British. Pihak komunis kecewa dalam usaha mereka untuk merampas kuasa di Tanah Melayu.
Orang Melayu, tanpa menyedari apapun, mengalu-alukan kedatangan British kerana mereka
menyangka hubungan dengan British akan kembali seperti keadaan sebelum perang.
Orang Melayu merasa kecewa bila pihak British mencadangkan supaya orang Cina dan India diberi
hak yang sama dengan orang Melayu dalam gagasan baru Malayan Union. Keruncingan hubungan
Melayu-Cina memuncak semula, tetapi kali ini keadaan lebih rasional dan berterusan berikutan
kesedaran umum bangsa Melayu terhadap rancangan British itu. Sejak dari itulah sikap Melayu-Cina
bertukar menjadi isu politik negara yang hams diselesaikan bukan di peringkat tempatan tetapi di
peringkat pihak berkuasa yang paling tinggi di negara ini.
Walaupun cadangan British itu tidak dilaksanakan, namun kesannya terhadap hubungan orang Melayu
dengan bukan Melayu semakin tidak menyenangkan. Malah, pemimpin Melayu yang paling dihormati
sekalipun tidak dapat meredakan kecurigaan orang Melayu terhadap orang-orang bukan Melayu. Dato
Onn (pengasas UMNO) telah keluar dari UMNO kerana cadangan beliau hendak bekerjasama dengan
kaum bukan Melayu tidak diterima.

Walau bagaimanapun, UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman telah mencuba kerjasama
Melayu-Cina di dalam pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952. Keputusan
pilihanraya itu agak menggalakkan hingga telah mengurangkan sedikit kerisauan dan kecurigaan di
kalangan orang Melayu. Kerjasama tersebut telah dicuba sekali lagi dalam pilihanraya yang lebih
besar pada tahun 1955 dan kejayaan dalam pilihanraya ini telah memulakan waktu berbaikbaik dan
kerjasama yang tulen di antara kaum di negara ini. Namun, keharmonian yang sebenar masih lagi
dicari kerana tiap-tiap kaum menganggap pencantuman tadi hanya secara berkebetulan sahaja. Di
zaman berbaik-baik inilah kemerdekaan dicapai.
Secara ringkas itulah latar belakang hubungan antara kaum di Tanah Melayu sebelum Merdeka. Hanya
pada waktu hampir Merdeka nampak seperti ada harmoni antara kaum di Tanah Melayu. Sebelum itu,
apa yang sewenangnya dikatakan keharmonian antara kaum sebenarnya mempunyai makna lain — iaitu
tidak ada sengketa secara terang-terang. Faktor-faktor yang menyebabkan tidak adanya sengketa ini
lebih didorong oleh desakan luar daripada desakan dalam.

Suasana tahun 1957 adalah penuh dengan harapan. Kerjasama antara orang Melayu dan orang
Cinasemasa menuntut kemerdekaan nampaknya telah mendatangkan hasil yang baik. Kerajaan
Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan semasa kemerdekaan telah mendapat sokongan majoriti
dari rakyat berbagai kaum di Tanah Melayu. Pihak pembangkang adalah lemah dan berpecah-belah,
dan mereka hanya mempunyai seorang wakil di dalam badan perundangan tertinggi. Kaumkaum sekutu
dalam Kerajaan Perikatan sedar akan sengketasengketa masa lalu dan amat berhati-hati agar tidak
membangkitkan masalah perkauman. Lagipun, mereka terpaksa berpegang kepada janji-janji dan
persetujuan-persetujuan yang telah dieapai sebelum Merdeka, terutama untuk mengurangkan
permusuhan antara kaum.

Manusia boleh ternoda oleh kuasa dan kuasa hampir mutlak yang diperolehi oleh Kerajaan Perikatan
telah menodai fikiran pemimpin-pemimpin Perikatan. UMNO, yang menjadi teras kepada Parti
Perikatan dan mempunyai lebih suara, haruslah lebih bertanggungjawab akibat kemerosotan yang
beransuransur berlaku ke atas Kerajaan Perikatan sebaik sahaja kemerdekaan dicapai. Pergaduhan
kaum yang berlaku pada 13 Mei, 1969 sebenarnya bermula ketika bendera Union Jack diturunkan dan
bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan. Dengan perasaan penuh semangat penduduk Malaysia
telah memberikan gelaran Bapa Kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman, yang bertanggungjawab
merangka kemerdekaan Tanah Melayu. Gelaran ini memang kena pada tempatnya, dan tentunya
diberikan secara ikhlas untuk menghormati orang yang telah bertanggungjawab mencapai
kemerdekaan.
UMNO, seperti juga lain-lain parti politik, mempunyai perlembagaan yang menggariskan cara-cara
perlaksanaan tugasnya. Ia mempunyai sebuah badan penggubal dasar yang telah ditetapkan tugastugasnya.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mempunyai kuasa tertinggi dalam parti tersebut.
Namun, walaupun besar kuasanya, MKT harus membuat keputusan berdasarkan persetujuan para ahli
dan bukan mengambil langkah yang bertentangan dengan kehendak ahliahlinya. Bagaimanapun, pada
masa-masa tertentu MKT boleh membuat keputusan yang tidak selaras dengan kehendak ahlinya.
Kuasa ini diberikan misalnya bila MKT mempunyai suatu maklumat khas dan mungkin sulit yang tidak
boleh diberitahu kepada ahlinya. Namun begitu MKT tidak boleh mengenepikan pendapat-pendapat
ahlinya secara berterusan. Sebagai langkah untuk memberi peluang kepada ahli-ahli biasa supaya
dapat me-nyuarakan pendapat mereka, kuasa tertinggi diberikan kepada Perhimpunan Agung
Perwakilan UMNO yang bersidang setahun sekali atau apabila perlu.

Malangnya, apabila pemimpin parti juga menjadi pemerintah yang tertinggi dan berkuasa dalam
Kerajaan, peruntukanperuntukan dalam perlembagaan parti sudah tidak cocok dan dianggap tidak
penting lagi. Kedudukan dan kuasa pegawaipegawai parti sebagai ahli dalam Kerajaan adalah lebih
tinggi daripada pegawai-pegawai di dalam parti. Perdana Menteri pula menjadi begitu berkuasa oleh
sebab kedudukan dan kepopularannya sehinggakan parti harus tunduk kepadanya. Oleh itu, bukan
sahaja Perhimpunan Agung Perwakilan UMNO telah ditangguhkan, malah Majlis Kerja Tertinggi
UMNO tidak dipanggil untuk membincangkan dasar kerajaan ataupun dasar parti. Parti tersebut terus
wujud bukan kerana ahli-ahlinya mempunyai idea-idea politik yang sama, tetapi melalui satu sistem
naungan dan paksaan yang berdasarkan kepada kuasa Kerajaan lebih daripada kuasa parti.
Penaungan dan paksaan hanya boleh memberi kesan kepada orang-orang yang terdedah kepada sistem
itu secara langsung. Sebilangan besar ahli biasa parti tidaklah begitu terlibat di dalam sistem tersebut
hingga boleh memberi kesan kepada mereka.
Apabila sistem naungan ini lama-kelamaan menjadi lebih tidak langsung, misalnya dalam penafian
atau pemberian projek pembangunan kepada sesebuah kampung, maka semakin sukarlah untuk
mendapatkan balasan yang memuaskan. Dalam pengertian lain, semakin tidak langsung naungan itu,
maka semakin sukarlah diketahui apakah yang dikehendaki dari naungan tersebut. Oleh itu sistem
naungan adalah terlalu menyekat dan tidak dapat menggantikan kepopularan yang tulen atau pegangan
pendapat dan tujuan yang sama. Sistem penaungan sebagai satu faktor politik dalam parti adalah
sangat penting. Ini bermakna pemimpin-pemimpin parti tidak lagi bertanggungjawab kepada ahli-ahli
biasa dan penyokong-penyokongnya yang tidak dikenali, mereka hanya bertanggungjawab kepada diri
mereka sendiri. Per-asaan takbur biasanya akan mula meresap dalam diri orang-orang yang berkuasa
memberi naungan, perasaan bahawa mereka boleh membentuk dan mencorak orang lain serta pendapat
ramai mengikut kehendak mereka.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang menjadi sekutu terkanan dalam Kerajaan Perikatan telah diserang
oleh penyakit ini. Mereka merasakan bahawa mereka tidak perlu mempedulikan pendapat-pendapat
para penyokong mereka, lalu pendapat-pendapat tersebut sentiasa sahaja diketepikan.Sewaktu
berkuasa, UMNO mempunyai lebih banyak suara dari yang diperlukan. Sikap tidak mempedulikan
kritik-kritik dari dalam parti tidak meluakkan kekuatan parti itu pada mulanya. Namun kemerosotan
sokongan dari orang ramai yang berlaku terus menerus, sedikit demi sedikit mengikis keupayaannya
untuk mendapatkan sokongan yang cukup pada masa pilihanraya.UMNO ditubuhkan oleh kerana rasa
bimbang orang Melayu terhadap orang Cina. Masa berbaik-baik sebelum dan selepas Merdeka telah
mengurangkan perasaan bimbang orang Melayu, tetapi kebimbangan ini tidak pernah lenyap sama
sekali. Selagi orang-orang Cina atau pengikut-pengikut Malaysian Chinese Association (MCA) yang
agak banyak itu bekerjasama dengan orang Melayu, kebimbangan ini dapat dipendamkan. Apabila
pemimpin-pemimpin semakin menyeleweng dari dasar yang ditetapkan oleh UMNO dan ini ditambah
pula dengan tuntutantuntutan secara terang-terang dan berterusan oleh orang-orang Cina yang berada
di dalam ataupun di luar MCA, kebimbangan itu bangkit semula.

Pemimpin-pemimpin UMNO lebih suka memenuhi hasrat orang Cina dan bergantung kepada kuasa
penaungan tadi dan juga sikap patuh orang-orang Melayu sendiri untuk mengikut arahan-arahan parti.
Namun sikap tidak mempedulikan kritik-kritik dan tidak mengendahkan penyokong-penyokong yang
mula berpaling tadah sudah tentulah mempunyai kesan ke atas parti. UMNO menjadi semakin lemah
dan menjelang pilihanraya 1969 kekuatan pengaruhnya begitu merosot sekali hinggakan terpaksa
bergantung kepada sumbangan wang Kerajaan yang banyak untuk mendapatkan sokongan di beberapa
buah kawasan yang tidak menyokongnya. Pada jangkaan umum, sepatutnya ahli-ahli Kerajaan yang
lebih bijak tentu sekali dapat mengenal tanda-tanda itu. Pergaduhan antara orang-orang Melayu dan
Cina di Bukit Mertajam pada tahun 1964, dan Rusuhan Hartal di Pulau Pinang pada tahun 1968 adalah
tanda-tanda yang menunjuk ke arah itu. Meskipun begitu, pihak Kerajaan nampaknya tidak sedar akan
kejadian yang berlaku di sekitarnya. Oleh kerana Kerajaan mempunyai majoriti yang besar di
Parlimen, kritikkritik yang ditujukan kepada Kerajaan biasanya dipandang rendah. Dasar-dasar
Kerajaan ditetapkan tanpa menghiraukan pendapat-pendapat dari orang ramai.
Contohnya ialah keputusan Kerajaan untuk membiayai kos guaman bagi seorang Menteri yang telah
mendakwa seorang ahli pembangkang atas tuduhan fitnah. Keputusan ini dibuat setelah kes itu kalah.
Andainya Menteri itu menang, sudah tentu dialah yang akan mendapat bayaran ganti rugi.
Satu lagi contoh ialah jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri di Parlimen kepada satu
pertanyaan tentang mengapa Pejabat Konsol Malaysia perlu ditubuhkan di Taiwan. Perdana Menteri
antara lain menjawab bahawa hubungan dengan Taiwan akan memudahkan lawatan menteri-menteri
ke pulau itu yang dianggap sangat sesuai atau serasi untuk dilawati. Memang tidak dinafikan bahawa
para menteri juga adalah manusia biasa. Akan tetapi sikap mengenepikan kritik penting terhadap dasar
Kerajaan dengan jawapan yang mengolok-olok begitu menunjukkan betapa kerajaan tidak
mengendahkan moral dan jangkaan orang ramai. Undang-undang telah diluluskan secara tergesa-gesa
tanpa rundingan-rundingan awal dengan para wakil yang akan “menjual” undang-undang ini kepada
rakyat. Perubahan-perubahan bagi cukai telah dibuat dan kemudian diketepikan tanpa menghiraukan
langsung kesusahan-kesusahan yang dihadapi oleh rakyat.
Sidang-sidang Parlimen hanya dianggap sebagai suatu formaliti yang tidak bermakna, semata-mata
memberi peluang kepada para ahli untuk berucap agar suara mereka dapat didengar dan dihebahkan.
Meskipun begitu, hujah-hujah tersebut tidak berkesan langsung kepada pentadbiran Kerajaan.
Perasaan umum ialah walau Parlimen bersidang ataupun tidak, Kerajaan tetap memerintah. Sidangsidang
tersebut diadakan hanyalah sebagai mematuhi amalan demokrasi. Tujuan utama sidang ialah
untuk menunjuk-nunjukkan kekuatan Kerajaan.

Dari masa ke semasa, kekuatan ini telah digunakan untuk meminda perlembagaan. Cara dan kerapnya
perlembagaan dipinda kerana sebab-sebab yang tidak penting telah menjatuhkan taraf undang-undang
tertinggi negara kepada lembaran kertas yang tidak berguna.Sebuah negara yang baru merdeka
memerlukan pentadbir yang betul-betul mahir memegang teraju Kerajaan. Keputusan hendaklah dibuat
pada tiap-tiap hari, dan keputusan-keputusan ini akan mempengaruhi negara dan rakyat. Menterimenteri
dan ahli-ahli Kabinet diberi kuasa untuk membuat keputusankeputusan ini.
Oleh itu sudah ternyata bahawa Menteri-menteri dan ahli-ahli Kabinet hendaklah terdiri daripada
mereka yang betul-betul berkebolehan dan berpengalaman. Meskipun begitu, di Tanah Melayu yang
merdeka, pemilihan ahli-ahli Kabinet ditetapkan sebagai satu ganjaran kepada kesetiaan terhadap
ketua-ketua parti dan orang-orang yang diterima oleh Perdana Menteri. Selepas mereka dilantik,
kalaupun mereka tidak menjalankan tugas dengan sempurna, kedudukan mereka sebagai menteri tidak
tergugat. Sebaliknya, kalaupun seorang Menteri itu telah menjalankan tugasnya dengan baik tetapi
gagal un-tuk berbaik-baik dengan Perdana Menteri maka dia akan disingkirkan dari
kementeriannya.Akibatnya, orang-orang yang kurang berkebolehan dibiarkan untuk mentadbir negara
ini.

Orang-orang yang berkebolehan tidak dapat berkhidmat dengan Kerajaan dan kalaupun mereka
diterima untuk berkhidmat mereka tidak pula kekal lama. Walaupun kabinet silih berganti dengan pola
yang sama berterusan, namun harapan seluruh negara untuk melihat orang-orang yang betul-betul
berkebolehanberada di dalam Kerajaan ternyata hampa. Rakyat mula bersikap sinis dan mereka
kurang menghormati para menteri. Perasaan ini bukan sahaja terserap di kalangan mereka yang
membangkang Kerajaan, malah juga pada mereka yang menjadi penyokong Kerajaan.
Seperti yang dijangkakan, Kerajaan yang dianggotai oleh orang-orang yang tidak berkebolehan
ternyata kurang idea, tidak dapat memahami batas-batas kekuasaan mereka, dan umumnya tidak dapat
memimpin dengan sempurna. Cara yang biasanya digunakan oleh Kerajaan untuk menjawab kritikan
yang ditujukan kepadanya ialah dengan melantik suruhanjayasuruhanjaya untuk mengkaji dan membuat
laporan mengenai kritikan itu.

Suruhanjaya ini yang terdiri daripada orang-orang ternama yang berkebolehan biasanya mengambil
masa yang lama untuk menjalankan tugasnya.
Sementara itu Kerajaan tetap menjalankan tugasnya seperti biasa. Akhirnya bila laporan itu siap ahliahli
Kabinet pula mendapati sukar untuk mengkajinya. Jadi sebuah jawatankuasa yang baru akan
dilantik untuk mengkaji tiap-tiap laporan. Dengan itu lebih banyak masa ter-buang. Akhirnya apabila
Kabinet membuat keputusan mengenai kajian laporan tadi, mereka akan menolak kebanyakan bahagian
laporan itu dan perlaksanaan cadangancadangan juga ditangguhkan hingga ke suatu masa yang tidak
ditetapkan. Sebenarnya, tugas suruhanjaya-suruhanjaya itu merupakan usaha yang sia-sia serta
merugikan wang dan masa orang ramai. Kerajaan tetap meneruskan dasar-dasarnya seolaholah tidak
ada suruhanjaya yang telah dilantik.

Bagaimanapun, selama ini Kerajaan sedang sibuk mencari jalan untuk mengekalkan kuasanya.
Langkah-langkah yang diambil ternyata ada udang di sebalik batu hinggakan kesannya lain dari yang
diharapkan. Semua orang dapat melihat akan kepincangan ini, kecuali Kerajaan sendiri. Oleh itu,
walaupun rancangan-rancangan luar bandar telah lama hilang kesan, Kerajaan masih lagi
melaksanakan projek-projek seperti mendirikan masjid dan balai raya. Perlaksanaan projek itu
dijalankan bukan kerana segala kemudahan tersebut difikirkan perlu, tetapi kerana anggapan yang
salah kononnya langkah-langkah ini akan dapat memancing undi dalam pilihanraya yang akan datang.
Seperti yang dijangkakan, apabila menjelangnya pilihanraya, maka peruntukan bagi rancangan
pembangunan luar bandar akan bertambah. Menteri-menteri semakin sibuk menghulurkan cek-cek
sebelum dan semasa pilihanraya. Sementara itu penerima-penerima bantuan ini menunjukkan rasa
terima kasih mereka. Akan tetapi bagi mereka yang pernah memerhati tindakan ini dengan lebih dekat,
ternyata bahawa rasa terhutang budi yang ditunjukkan oleh penerima-penerima tadi tidak semestinya
diberikan kepada Kerajaan. Lebih buruk lagi ialah sistem pilih kasih dalam memberikan peruntukan
kepada penyokong-penyokong atau kubu-kubu parti. Perbuatan memihak-mihak tanpa berselindung ini
telah menimbulkan kemarahan terhadap Kerajaan, dan tentu sekali orang-orang yang menentang
Kerajaan akan terus bersikap demikian. Sebaliknya pula, pihak Kerajaan memang tidak dapat
memenuhi kesemua permintaan daripada penyokong-penyokong parti. Oleh itu perasaan kecewa di
dalam parti semakin menjadi-jadi dan lebih ramai ahli parti yang berpaling tadah.

Memang sudah nyata bahawa menjelang pilihanraya tahun 1969 semua golongan penduduk negara ini
tidak puashati dengan Kerajaan. Orang Melayu tidak puashati kerana dari pandangan mereka Kerajaan
terus memihak kepada orang Cina, sedangkan Kerajaan telah gagal untuk membetulkan ketidakseimbangan
pembahagian kekayaan dan kemajuan bagi kaum-kaum di Malaysia. Sewaktu
menyuarakan perasaan tidak puashati mereka ini, mereka telah membangkitkan kemarahan penduduk
bukan Melayu, terutama orang Cina. Tuntutantuntutan orang Cina pula bertambah apabila pemberian
Kerajaan semakin menghairahkan keinginan mereka. Pada mulanya orang Cina yang berfahaman
sederhana menganggap bahawa tuntutan-tuntutan golongan pelampau adalah langkah wajar untuk
mengawal tuntutan orang Melayu. Malangnya, lama-kelamaan golongan sederhana ini akhirnya turut
menjadi mangsa strategi mereka sendiri. Sebagai langkah untuk mengekalkan pengaruh mereka,
golongan sederhana terpaksa menurut kehendak golongan pelampau. Sudah tentu sahaja tindakan
tersebut membangkitkan semula permusuhan dan perasaan curiga orang Melayu. Jurang perpisahan
antara orang Melayu dan bukan Melayu semakin meluas.

0 komentar: